Wednesday, February 2, 2011

Dunia baru Amber-Nadia Heng (Miss World Malaysia 2010).




KEDUA-DUA figura jelita ini baru sahaja melepasi satu lagi episod hidup yang memberi 1001 keistimewaan tersendiri.
Aktres dan model tersohor, Amber Chia kini beralih status daripada seorang isteri kepada seorang ibu selepas melahirkan seorang bayi lelaki pada penghujung September tahun lalu.
Pendatang baru, Nadia Heng pula sedang mempersiapkan diri untuk beraksi di pentas peragaan dan mencuri tumpuan lensa selepas dia dinobat juara Ratu Cantik Malaysia 2010.
Begitupun, apa yang pasti, sempena dengan sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini, kedua-dua rupawan itu mengharapkan dikurniakan kesihatan yang baik, kebahagiaan dalam kehidupan dan keseimbangan dalam apa juga yang dilakukan.
Berdarah campuran Inggeris-Cina, Nadia Heng tidak pernah sesekali melepaskan peluang untuk berkumpul bersama keluarga tersayang untuk meraikan sambutan Tahun Baru Cina.
Seperti tahun-tahun sudah, Nadia bersama kakak dan ayahnya akan balik beraya di Port Dickson, Negeri Sembilan untuk bersama ahli keluarga yang lain.
"Selepas menetap di United Kingdom kira-kira 10 tahun yang lalu, saya menghabiskan masa kanak-kanak saya dengan membesar di Port Dickson dan itulah kampung saya.
"Jadi, setiap kali Tahun Baru Cina, kami sekeluarga akan balik ke sana meskipun pada tahun ini hanya segelintir sahaja keluarga yang akan balik," kata model berusia 25 tahun itu.
Sebaik bergelar Ratu Cantik Malaysia pada Oktober tahun lalu, dunia yang ditempuhi Nadia kini sedikit asing baginya yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai perhubungan awam.
"Kini semuanya serba baru bagi saya dan semakin hari saya sibuk dengan pelbagai acara. Dulu saya yang bertugas menjemput media datang ke majlis yang diadakan, kini saya pula yang dijemput.
"Seronok juga berada dalam keadaan sebaliknya. Dengan pengalaman yang saya ada sebagai pegawai perhubungan awam, saya semakin memahami keperluan antara media dan selebriti," katanya.
Mengakui bidang peragaan merupakan pekerjaan yang menarik, Nadia pada masa yang sama masih lagi menjadikan kerja pertamanya iaitu pegawai perhubungan awam sebagai kerja separuh masa.
"Saya baru berhenti bekerja, tetapi masih lagi membuat kerja perhubungan awam secara bebas," tuturnya.
Gemar menguji diri
Sebelum terlibat dengan pertandingan ratu cantik, wajah Nadia sudah banyak kali menghiasi kaca televisyen dengan menceburi bidang pengacaraan dan pernah membintangi iklan seperti Spritzer dan jenama kosmetik, Revlon.
Antara rancangan yang pernah dikendalikan oleh pemegang Ijazah Sarjana Komunikasi Pemujukan Universiti Sains Malaysia itu ialah Health Blitz di TV2 serta dua program ntv7, Deal or No Deal (ntv7), dan Breakfast Show.
"Saya memang gemar untuk meneroka bidang-bidang baru untuk menguji kemampuan diri saya. Saya mahu mendapatkan banyak pendedahan sebanyak mungkin untuk memajukan diri sendiri. Saya juga mahu mencuba untuk berlakon.
"Bagi saya, kita hanya muda sekali sahaja. Ambil peluang untuk lakukan apa yang kita mampu dan kecapi segala kemahuan yang kita inginkan," luahnya.
Tatkala disogok dengan isu kahwin, Nadia hanya tersenyum dan mengakui hatinya kini sudah dimiliki oleh seseorang.
"Benar saya sedang bahagia dengan seseorang, tetapi kami tidak pernah lagi membicarakan tentang perkahwinan. Saya masih agak muda untuk berkahwin!," ujarnya dengan nada sedikit menjerit.


No comments:

Post a Comment